Satu kata cinta Bilal:
“Ahad!”
Dua kata cinta
Sang Nabi:
“Selimuti aku…!”
Tiga kata cinta Ummu Sulaim
“Islammu,
itulah maharku!”
Empat kata cinta Abu Bakr
“Ya
Rasulullah, saya percaya…!”
Lima kata cinta ‘Umar
“Ya
Rasulullah, izinkan kupenggal lehernya!”
Selamat datang di jalan
cinta para pejuang!
Jikalau ada sepuluh bintang untuk memberi
makna dari segi markah akan hasil sesebuah penulisan, pasti buku ini
adalah buku pilihan saya untuk mendapatkan 10 bintang itu. Di dalam buku
Jalan Cinta Para Pejuang ini, Ustaz Salim A. Fillah telah menggarap
maksud pejuang secara menyeluruh sekali. Dan satu bonus juga bagi para
pembaca kerana garapan ini dibuat dengan bahasa yang sangat indah dan
berseni, seindah kisah nama-nama manusia yang dicoretkan di dalam buku.
Bermula
dengan perbahasan mengenai definisi cinta menurut pandangan dunia barat
seperti Romeo, epic Laila dan Majnun, serta teori-teori Saintifik hasil
kajian para ilmuan, beliau membawa kita perlahan-lahan merungkai dari
mana datangnya cinta yang begitu agung iaitu Cinta kepada Pencipta yang
bahkan lebih hebat dari kecanduan cinta sesama manusia.
Pada
bahagian kedua iaitu dinamakan langkah kedua Ustaz Salim turut
membincangkan tentang kekuatan yang ada pada pemberian makna yang
membezakan cara kita melihat sesuatu situasi. Bahagian ini bagi saya,
antara bahagian yang saya gemari kerana ianya mengingatkan saya bahawa
kita semua punya keterbatasan yang sama iaitu, keterbatasan dalam
takdir. Kita berusaha selayaknya tetapi takdir itu adalah limit kepada
jalan cerita yang kita coretkan. Namun, kita kadang-kadang lupa, kita
masih punya satu kebebasan, tidak kira di dalam situasi apapun, tak kira
dibawah takdir apa sekalipun, iaitu kebebasan memberi makna kepada
takdir yang berlaku itu sendiri. Jika berbaik sangka, manislah
takdirnya, tetapi jika buruk sangka, terpaksalah menelah kepahitan itu.
Buku
ini juga dihiasi dengan coretan sirah Rasulullah saw, kisah
sahabat-sahabat Rasulullah dalam berjuang menegakkan islam.
Masing-masing melakukan sesuatu untuk menegakkan agama dalam erti kata
perjuangan walaupun kadangkala lorong perjuangan itu tidak sama. Kesemua
kisah ini sangat meruntun hati, namun memberi sejenis perasaan bersulam
kekuatan untuk tidak lelah dan kalah dalam berjuang meninggikan agama
Allah. Tiupan nafas perjuangan ini juga sangat kuat terutamanya apabila
hikmah-hikmah disebalik Kisah seperti ketabahan Nabi Ibrahim dan
keluarganya, Ummu Sulaim dan lain-lain dicungkil secara kritis.
Salim
tidak hanya menyelitkan kisah-kisah ini secara total, sebaliknya
dikaitkan dengan misi perjuangan generasi pertama dan lain-lain generasi
termasuk kita pada hari ini. Inilah yang menjadikan buku ini istimewa
dan sangat sesuai untuk mereka yang sama ada sudah berjiwa pejuang atau
mahu mencambahkan jiwa pejuang di dalam nurani masing-masing.
Akhir
kata, buku ini bukan sekadar buku biasa yang membawa kita mengembara di
satu daerah, kemudian kembali ke tapak asal tanpa apa-apa beza,
sebaliknya menarik kita ke satu zaman, satu era, satu dunia yang asing
di mata, cinta adalah segala-galanya, Cuma bezanya, ini cinta pada yang
Esa.(less)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar